Semalam, atas desakan perasaan yang tak menentu, saya mengambil keputusan untuk menonton wayang sendirian. Mungkin mereka tidak pernah cuba mengerti tentang saya.
Adakalanya saya memerlukan ruang untuk diri saya sendiri. Untuk saya melakukan apa yang saya mahu dan minat. Untuk menentukan pilihan hidup saya. Untuk memastikan diri saya bahagia. Tetapi, semakin saya menerangkan apa yang saya mahu, keadaan semakin mendesak dan merumitkan.
Mengikut gerak dan kata hati, saya menonton filem ini. Sepi. Mungkin sesepi hati saya? Atau mungkin sepi yang tidak sesepi hati saya? Atau mungkin sepi ini lebih sepi dari yang sepi. Dan agaknya sepi2 adalah melampau sepi.
Mengarot lagi!
Saya memang sudah menempah tiket ini sedari awal. 2 tiket. Sekadar mencuba nasib, mana tau ada yang ingin menemani. Tetapi nasib saya pada malam tadi adalah seorang dan itu sememangnya kemahuan saya.
Sedikit ulasan tentang filem Sepi
ADAM
Adam lakonan Afhlin Shauki merupakan seorang chef tersohor yang masih bujang. Hidupnya makin tertekan apabila seorang demi seorang rakannya mendirikan rumahtangga. Lebih menekankan apabila dia sering terpaksa duduk di meja “single” pada setiap majlis perkahwinan. Suzy lakonan Nasha Aziz, sudah lama meminati Adam. Sekembalinya dari Finland kerana melanjutkan pelajaran, Suzy cuba untuk menambat hati Adam. Pada waktu yang sama, Ilyana (lakonan Vanida Imran) muncul dalam hidup Adam sehingga melahirkan satu perasaan cinta. Namun, kebahagiaan mereka hanya sementara apabila, Ilyana menghulurkan kad undangan perkahwinannya. Hati Adam hancur dan akhirnya dia menerima Suzy sebagai kekasihnya dengan alasan;
“Dia cintakan aku…”
Walau pada hakikatnya, Adam terlalu mencintai Ilyana.
Cinta hadir untuk kali kedua apabila Ilyana muncul kembali dalam hidup Adam. Saksikan apa yang akan berlaku seterunya. Bersatukah mereka? Dan apa yang berlaku kepada Suzy? Mat Nor tu sapa ek? Ops.
Lakonan Nasha Aziz amat berkesan dengan keletah dan lawaknya yang spontan. Yang paling tidak dapat saya lupa apabila dia gelak seperti pontianak di kenduri adik Adam, Dina. Saya amat suka dengan kata-kata yang dibaitkan oleh Vanida Imran. Amat menusuk jiwa.
“…sebelum saya jumpa awak, saya tahu membuat pilihan tetapi selepas saya berjumpa awak, saya tidak tahu membuat keputusan…”
SUFI
Kerana mahu lari dari memori dan kesilapan silam, Sufi berlari tanpa henti di sebuah taman. Isterinya meninggal di hadapan matanya sendiri di dalam sebuah kemalangan jalanraya. Disebabkan terlalu dihimpit memori yang perit dan mahu lari dari kesepian itulah Sufi berlari tanpa henti tanpa mempedulikan hidup termasuk anaknya Ashraf. Sehingga pada suatu petang, Sufi bertemu dengan seorang wanita lakonan Eja di tepi tasik. Eja juga dilanda kesepian kerana tidak dikurniakan anak setelah 7 tahun berkahwin. Dia menghabiskan hidupnya di taman tasik untuk mengisi kesepian hidupnya itu.
Sufi mula sedar dia mula mencintai Eja. Bukankah cinta akan datang untuk kali ke 2? Apa yang berlaku seterusnya dan sebaliknya, saksikan sendiri.
Terus terang, saya tidak begitu tertarik dengan jalan cerita cinta Sufi dan Eja sehingga sukar untuk meluah ayat mengulas tentang cinta mereka.
IMAAN
Imaan lakonan Baizura Kahar seorang gadis yang amat mencintai seni dan bercadang untuk mementaskan puisi karyanya. Ean lakonan Syed Hussain merupakan pelakon utamanya. Ean gagal untuk menghayati puisi tulisan Imaan sehingga menimbul rasa amarah pada gadis tersebut. Lantas, saban hari dia meluahkan rasa kecewa itu pada kekasihnya Khalil lakonan Piere Andre. Perbalahan yang berlaku antara Imaan dan Ean akhirnya menimbul rasa cinta oleh Ean terhadap Imaan yang sudah mempunyai kekasih.
Disebabkan cinta, Ean akhirnya dapat menjiwai puisi yang ditulis oleh Imaan pada hari pementasan yang sebenar. Imaan berasa amat gembira dan akhirnya menerima pelawaan Ean untuk meraikan kejayaan tersebut. Keadaan menjadi kalot apabila sedang mereka bergembira, Imaan ternampak bayangan Khalil yang sedang melihat dia. Imaan cuba mengejar Khalil akibat desakan rasa bersalah. Apa yang berlaku seterusnya?
Cerita mengenai Imaan dan Khalil sangat mendalam sehingga saya dapat merasai betapa kuatnya cinta mereka. Khalil sebenarnya sudah lama mati dibunuh sekumpulan budak jahat ketika dia cuba meleraikan pergaduhan mereka. Imaan berada di tempat kejadian. Sejak dari itu, bayangan Khalil seringkali mengikuti Imaan. Cuma Imaan yang nampak kehadiran Khalil dan pada Imaan, Khalil masih hidup. Sehingga pada satu masa di mana Imaan koma akibat kemalangan jalanraya, Khalil hadir dalam tidurnya…
“Awak saya dah tak ada… please let me go….”
Dan dari itu Imaan mula sedar bahawa Khalil sudah lama pergi dan Imaan mula menerima Ean sebagai sebahagian dari hidupnya…
“Cinta datang kali ke dua…”
Puisi ini juga hampir-hampir membuatkan saya menitiskan air mata…
“Bisikku pada bulan
Kembalikan temanku
Kekasihku, syurgakuTanpa dia malam menemaniku
Sepi memelukkuBulan jangan biar siang biar alam ini kelam
Biar ia sepi sepertiku”





